TENAGA Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Renewables Sdn Bhd memeterai kerjasama lembaran terma terikat dengan Sunseap Group untuk memanfaatkan pasaran tenaga boleh diperbaharu (RE) dan perjanjian pembelian tenaga (PPA) korporat di Singapura.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Baharin Din berkata, kerjasama dengan syarikat berpangkalan di Singapura itu pencapaian penting bagi peluasan jejak RE antarabangsa TNB ke Asia Tenggara.

“Ini akan menjadi langkah pertama TNB menembusi pasaran RE Singapura dan kami akan berada di kedudukan yang baik untuk memanfaatkan segmen PPA korporat yang menarik dan semakin berkembang pesat.

“Kerjasama ini juga tepat pada masanya dengan jangkaan pembukaan tender oleh Penguasa Pasaran Tenaga Singapura untuk percubaan bekalan tenaga rentas sempadan Malaysia-Singapura yang dijangka dilancarkan pada bulan ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, kerjasama dengan Sunseap, antara syarikat utama di Asia Tenggara bagi penjanaan solar di kawasan bumbung bangunan dan kediaman akan menumpukan pelanggan strategik seperti syarikat RE100, firma multinasional dan data, untuk memacu peningkatan permintaan tenaga bersih dan hijau di rantau ini pada tahun akan datang.

Setakat ini, jumlah portfolio RE TNB merangkumi 2,732.3MW di Malaysia dan 666MW di United Kingdom (UK), Turki dan India yang meliputi terutama aset penjanaan tenaga hidro, angin dan solar.

“Susulan kejayaan pelaburan kami dalam perniagaan RE di UK melalui Vortex Solar dan Tenaga Wind Ventures, kerjasama dengan Sunseap juga menjadi langkah penting untuk meneruskan strategi peluasan RE antarabangsa kami,” katanya.

Baharin berkata, kerjasama itu juga menyediakan platform serantau yang kukuh dengan keupayaan, kapasiti dan rangkaian untuk mengembangkan perniagaan RE dan utiliti TNB di Asia Tenggara.

TNB menyasar untuk melonjakkan portfolio RE keseluruhannya kepada 8,300MW (termasuk hidro besar) menjelang 2025.