Petaling Jaya: Honda Malaysia menerima lebih 20,000 tempahan untuk model Honda City Serba Baharu sejak dilancarkan pada Oktober tahun lalu dan lebih 13,100 unit sudah diserahkan kepada pelanggan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Ekeskutifnya, Toichi Ishiyama berkata, selain itu ia juga mengumumkan harga rasmi untuk varian tertinggi iaitu Honda City RS e:HEV Serba Baharu yang ditawarkan pada RM105,950.

“Selain negara pertama di dunia yang melancarkan model ini, ia turut dilengkapi dengan pakej termaju dalam segmen-B iaitu ‘Next Generation Advanced Technology’, Honda Sensing dan Honda Connect.

“City RS e:HEV dijangka akan menjadi model ‘game-changer’ dan saya mengucapkan terima kasih kerana kesabaran pelanggan yang sudah menempah model ini dan menunggu untuk pengumuman harga rasmi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Teknologi Honda Connect juga antara yang pertama kali ditawarkan pada model ini dengan telematiks pintar dan ciri komunikasi bersepadu bagi memastikan keselamatan serta perlindungan terhadap kereta juga kelegaan minda kepada pemiliknya.

Untuk rekaan luarannya ia tampil bergaya dengan gril hadapan hitam berkilat, gril hadapan bawah, bampar belakang dengan ‘diffuser’, serta spoiler belakang, cermin sisi hitam dan lampu hadapan LED dan lampu nyalaan siang (DRL), lampu kabus dan rim aloi 16 inci dua tona.

Honda City RS dengan sistem dua motor hibrid dipacu enjin 1.5 Liter DOHC i-VTEC Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) e-CVT dengan kuasa 109PS dan tork paling tinggi dalam kelasnya iaitu 253Nm.

Varian ini juga didatangkan meter TFT bersaiz 7 inci, Paparan audio bersaiz 8 inci untuk ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta pelapik pedal sport untuk gaya lebih sporty.

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Passion Red Pearl, Modern Steel Metallic dan Platinum White Pearl.

Pra tempahan Honda City RS e:HEV boleh dilakukan dia laman web Honda atau ke bilik pameran Honda di seluruh negara.

Selain varian RS e:HEV, Honda City Serba Baharu ditawarkan pada harga RM74,191 (S), RM81,664 (E) dan RM86,561 (V) yang mana semua harga atas jalan diberikan pengecualian cukai jualan sehingga Jun 2021.