INTERAKTIF mesej dihantar melalui SMS atau aplikasi sembang adalah 44 kali lebih berkesan berbanding e-mel dalam mendorong orang mengambil tindakan yang perlu ketika pandemik Covid-19, menurut platform aliran kerja komunikasi Australia, Whispir.

Whispir menerusi kenyataan berkata, ia mengkaji lebih 120 juta interaksi komunikasi meliputi seluruh seksyen pelanggan perusahaan globalnya yang menggunakan platform aliran kerja komunikasi itu ketika tempoh pandemik Covid-19.

Kajian itu mendapati kadar tindak balas kali pertama adalah antara 72 peratus dengan 88 peratus kepada interaktif mesej apabila menggunakan SMS menerusi aplikasi web mudah alih, berbanding kadar terbuka pada 15 peratus dan kadar tindak balas kurang daripada dua peratus dalam tempoh 24 jam apabila hubungan itu dibuat menerusi e-mel saja.

Ketua Pegawai Eksekutif Whispir, Jeromy Wells berkata, walaupun e-mel berguna untuk maklumat bukan segera, tetapi penting disampaikan setiap hari, data menunjukkan ketika krisis, kebanyakan orang menangguhkan untuk menyemak e-mel.

“Tindakan itu meletakkan mereka dalam keadaan berisiko untuk perkara yang amat berkaitan dengan masa seperti perintah berkurung secara besar-besaran, pemindahan atau prosedur atau protokol terkini.

“E-mel tidak perlu menjadi saluran tunggal untuk berkomunikasi ketika krisis kerana kita tidak dibiasakan untuk menggunakan e-mel bagi perkara segera.

“Interaktif aplikasi web mudah alih dihantar menerusi SMS, Messenger dan WhatsApp jauh lebih mendorong orang untuk bertindak kerana kita sudah biasa menggunakan saluran itu untuk pemesejan peribadi–jadi serta-merta kita lebih menekankan kepentingan dan keutamaan saluran berkenaan,” katanya.

Wells berkata, bagi organisasi yang mempunyai pasukan di pelbagai zon geografi, gabungan pesanan suara, SMS dan aplikasi web mudah alih menyampaikan kandungan interaktif dan peningkatan tindakan jauh lebih berkesan dalam mendorong tindakan berbanding e-mel atau alat komunikasi dalaman semata-mata.

Beliau berkata, berdasarkan pandemik Covid-19 mengganggu perniagaan, penyelidikan Whispir menunjukkan proses komunikasi perlu menjadi cekap dengan keupayaan menghantar komunikasi masa sebenar kepada orang pada masa tepat dan dalam saluran yang paling berkesan memandangkan keadaan cepat berubah.