INISIATIF membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 diteruskan Kumpulan AmBank (AmBank) menerusi pelancaran BizRACE Musim Ketiga.

Program berbentuk pertandingan perniagaan itu pada kali ini membawa tema The Big Reset: Revive Your Business.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, seiring siri BizCONFERENCE yang dikendalikan secara dalam talian pada tahun ini, pelaksanaan BizRACE menyasar segala bentuk perkongsian yang boleh dimanfaatkan PKS untuk mempertingkatkan perniagaan mereka.

“Setiap tahun, AmBank secara konsisten menyokong PKS tempatan dengan menyediakan penyelesaian kewangan yang tepat buat mereka untuk melonjakkan perniagaan lebih jauh ke depan.

“Tahun ini nampaknya lebih berbeza dan mencabar apabila negara dilanda wabak Covid-19 dan kami tampil untuk sedaya upaya menyokong mereka menerusi pelbagai bentuk bantuan untuk mengurangkan impak.

“Kita harap PKS ambil peluang ini yang akan menyediakan peserta dengan peluang jaringan, pendedahan publisiti dan pengetahuan dalam tiga bidang utama iaitu Sektor Halal, Digitalisasi dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Pendaftaran dibuka sehingga 2 September depan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan Kumpulan AmBank, Christopher Yap berkata, pada tahun ini, Ambank BizRACE memfokuskan sokongan untuk PKS menyesuaikan diri dengan normal baharu pasca Covid-19.

“Kita menyampaikan pengetahuan mengenai pelaksanaan IR4.0, pendigitalan perniagaan, permohonan sijil halal, akses geran dan sebagainya.

“Menerusi kerjasama dengan rakan strategik kami, kami percaya PKS akan mampu bangkit semula dan mengadaptasi apa saja perubahan sepanjang tempoh mencabar ini,” katanya.

Pendaftaran untuk BizRACE Musim Ketiga dibuka mulai semalam.