Meskipun pandemik COVID-19 mengubah cara ekonomi global dan Malaysia beroperasi namun persepsi positif mengenai Malaysia perlu dihebahkan kepada dunia. – Gambar Astro AWANI

PUTRAJAYA: Penting untuk Malaysia memberitahu dunia bahawa ekonomi negara tetap berdaya saing dan terbuka untuk perniagaan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, meskipun pandemik COVID-19 mengubah cara ekonomi global dan Malaysia beroperasi namun persepsi positif sedemikian perlu dihebahkan kepada dunia.

“Malaysia kini berada di kedudukan ke-12 di dunia dalam kategori kemudahan menjalankan perniagaan dan ketiga di Asia Pasifik.

“Sehubungan itu, PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) akan mengumumkan beberapa pakej dan program pelaburan, insentif pengecualian cukai dan kemudahan pembiayaan yang inklusif,” katanya dalam pengumuman Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) Jangka Pendek di sini, pada Jumaat.

Tambah beliau, dalam usaha memacu pemulihan ekonomi negara melalui proses digitalisasi perniagaan, kerajaan akan menubuhan Dana Penjana Nasional berjumlah RM1.2 bilion.

“Peruntukan RM600 juta daripada kerajaan akan dipadankan dengan RM600 juta daripada pelabur domestik dan antarabangsa.

“Dana ini akan digunakan untuk memupuk inovasi dan mengembangkan bakat modal teroka tempatan atau domestic venture capital.

“Antara pelabur antarabangsa yang berminat untuk turut serta ialah SK Group, Hanwha Asset Management, KB Investment Co Ltd, Provident Growth, 500 Startups dan The Hive,” ujarnya.

Katanya lagi, untuk melengkapkan usaha digitalisasi, kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta bagi menubuhkan National Technology and Innovation Sandbox.

"Ia akan diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan memberi kelonggaran beberapa peraturan untuk menguji cuba teknologi baharu.

"Contohnya, menguji penghantaran pembelian dalam talian melalui dron dan penggunaan kenderaan pandu sendiri," katanya.