PASARAN modal domestik dijangka kekal berdaya tahan dan teratur meskipun berdepan persekitaran mencabar susulan impak kejutan ekonomi dicetuskan penularan Covid-19.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar berkata, daya tahan pasaran modal tempatan itu akan terus disokong oleh kecairan domestik yang kukuh, infrastruktur pasaran modal yang mantap dan limpahan daripada pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi oleh kerajaan meskipun di tengah-tengah pengaliran keluar modal asing.

Beliau berkata, bank pelaburan dan broker berlesen di negara ini juga berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding 10 tahun lalu dalam berdepan krisis susulan langkah berhemat dilaksanakan selama ini.

Katanya, meskipun berdepan aliran keluar dana ekoran penjualan asing, namun ia mampu diimbangi oleh penyertaan aktif pelabur tempatan terutama pelabur runcit yang mana penyertaan mereka meningkat ketika ini.

“Memang tidak dinafikan pasaran modal Malaysia terkesan oleh ketidaktentuan, namun setakat ini ia masih bertahan dan beroperasi dengan teratur disokong oleh kecairan yang kukuh dan infrastruktur yang utuh.

“Pasaran ekuiti tempatan menjejaki trend global, namun penjualan asing diimbangi oleh penyertaan pelabur institusi tempatan dan runcit. Kami juga melihat turun naik tidak menentu dalam pasaran bon tempatan, tetapi ia terus berprestasi lebih baik berbanding pasaran baharu muncul lain disokong oleh kecairan dana domestik yang utuh dalam industri pengurusan dana tempatan.

“Terdapat peningkatan penebusan pada Mac, tetapi bank pelaburan kita berada dalam kedudukan kukuh untuk menguruskan penebusan secara teratur dan kami melihat tiada risiko besar terhadap penebusan setakat ini,” katanya pada sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan SC 2019 di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai prestasi pasaran modal Malaysia tahun ini susulan impak penularan Covid-19.

Pada 2019, pasaran modal Malaysia terus berkembang kukuh kepada RM3.2 trilion pada 2019 berbanding RM3.1 trilion pada 2018 meskipun berdepan persekitaran global yang tidak menentu.

Pada tahun lalu memperlihatkan sekuriti hutang belum tebus dan permodalan pasaran ekuiti masing-masing berjumlah RM1.5 trilion dan RM1.7 trilion berbanding masing-masing RM1.4 trilion dan RM1.7 trilion pada 2018.

Syed Zaid berkata, SC akan terus memantau perkembangan situasi dalam pasaran global dan domestik dan bertindak balas sewajarnya.

Beliau berkata, pengawal selia pasaran modal itu juga akan mempergiat usaha untuk mewujudkan pasaran modal domestik yang mudah diakses, cekap dan bertanggungjawab ketika negara terus berdepan persekitaran luaran yang mencabar di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang sederhana.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19