SYARIKAT pertukangan kayu, Kawood menyasar menghasilkan sehingga 3,000 unit rak pelbagai jenis dalam tempoh sebulan menjelang akhir tahun ini jika hasrat untuk beroperasi di kilang lebih besar dapat direalisasikan.

Pemiliknya, Mohamad Hafiz Johari berkata, biarpun syarikat baharu saja memulakan operasi secara sepenuh masa pada 29 Mei lalu di rumah sebelum memasuki bengkel dua hari kemudian, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan permintaan di luar jangkaan ketika ini.

Memanfaatkan platform dalam talian bagi mengetengahkan jenamanya di pasaran, Mohamad Hafiz berkata, beliau cuba memberi tumpuan kepada kualiti setanding jenama perabot kayu popular lain.

Malah katanya, beliau tidak berkompromi dalam soal harga bagi memastikan ia sentiasa mampu milik, sekali gus menjadi elemen tarikan kepada pelanggan untuk memilih produknya.

“Susulan permintaan meningkat mendadak seawal hari pertama Kawood beroperasi, kami memutuskan mencari bengkel disebabkan ruang rumah tidak lagi sesuai untuk melakukan kerja pertukangan selain mengganggu jiran.

“Oleh itu, saya bersama dua lagi rakan yang turut mengasaskan Kawood mencari premis komersial untuk dijadikan bengkel di mana ketika ini kami dibantu dua pekerja.

“Memandangkan syarat kebanyakan bantuan perniagaan seperti pinjaman, geran dan sebagainya memerlukan operasi sekurang-kurangnya enam bulan, kami sasar enam bulan lagi kami dapat tunjukkan rekod baik untuk perluaskan perniagaan Kawood,” katanya.

Katanya, sepanjang sebulan Kawood beroperasi, 300 rak berjaya dijual membabitkan dua jenis rak iaitu rak tanaman Ara dan rak Meca yang masing-masing mewakili separuh jumlah berkenaan.

Dimulai dengan rak tanaman Ara, ia produk pertama diperkenalkan yang awalnya disasar untuk dijadikan rak meletakkan pokok.

“Namun ternyata pelanggan kami lebih kreatif apabila ada juga menggunakan rak terbabit untuk meletakkan buku dan pelbagai produk dekorasi lain.

“Kemudian, kami perkenalkan pula rak Meca sebagai tempat menggantung sejadah dan memang tidak disangka sambutannya sangat luar biasa.

“Ini kerana walaupun ia diperkenalkan tiga minggu selepas rak tanaman Ara, jualan rak Meca kini menyamai jualan (rak tanaman) Ara.

“Pada bulan ini (Julai), kami hasilkan dua lagi jenis rak untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.