Kuala Lumpur: Industri hiburan kini mengambil inisiatif untuk menerima guna digitalisasi sejajar dengan meningkatnya pengguna digital memandangkan massa kini beralih lebih banyak kepada tawaran atas permintaan berbanding kaedah tradisional dalam penggunaan media.

Justeru, platform penstriman dalam talian, WeTV Malaysia menjangkakan pertumbuhan penonton kandungan mudah alih semakin meningkat dalam tempoh tiga tahun, manakala penamatan televisyen kabel mungkin turut bertambah susulan pengguna diperkenalkan dengan lebih banyak pilihan dalam pasaran.

Pengurus Negara, Heng Aik Kuang berkata Malaysia mencatatkan antara kadar penembusan penonton menerusi telefon pintar tertinggi di rantau ini.

Beliau berkata oleh yang demikian, WeTV sudah pasti melihat peralihan besar kepada penonton mudah alih dengan minat yang amat tinggi termasuk bagi tontonan atas permintaan.

“Interaksi pertama majoriti rakyat Malaysia dengan kandungan video cenderung melalui peranti pintar berbanding dengan televisyen, komputer atau komputer riba.

“Kandungan tempatan juga akan melonjak memandangkan kualiti industri hiburan tempatan semakin baik dari tahun ke tahun,” katanya kepada Bernama.

Latar Belakang

WeTV yang dilancarkan pada 2018 semakin pantas menjadi platform ‘Over-the-Top’ (OTT) terkemuka di Malaysia, yang mengetengahkan kandungan tempatan, antarabangsa dan Asia berkualiti tinggi untuk para peminat di negara ini.

Sejak Januari 2020, platform ini menyaksikan peningkatan jumlah penonton lebih 10 kali ganda, dan laman penstriman digital merekodkan lebih 10 juta muat turun di Google Play Store dan Apple App.

Heng berkata, WeTV bermatlamat meningkatkan industri filem Malaysia ke tahap seterusnya.

Beliau yakin WeTV Originals akan dapat mencapainya secara berperingkat, menerusi kerjasama dengan peserta industri Malaysia.

“Tahun lepas, kami menyaksikan jumlah orang yang menerima guna perkhidmatan penstriman sebagai bentuk hiburan terus melonjak susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Walaupun kita lihat impak ketara terhadap keseluruhan industri ini, termasuk pawagam, namun industri hiburan akan kekal berdaya tahan memandangkan ia menawarkan saluran penting kepada khalayak,” katanya.

Beliau berkata bagi OTT, pengguna terus memperoleh nilai yang besar untuk menikmati tontotan kandungan secara mudah di mana saja dan pada bila-bila masa.

“Menerusi penggunaan yang dipercepat dan lebih banyak kandungan disiarkan kali pertama menerusi dalam talian, trend ini akan terus bertambah baik tahun ini.

“Bagi memacu langganan, kami terus meneliti minat dan tingkah laku tontonan pengguna serta menggabungkan maklumat ini bagi menghasilkan kandungan tempatan terbitan asli kami,” katanya.

Heng ketika mengulas mengenai perbezaan WeTV dengan platform penstriman lain seperti Netflix dan Viu berkata, WeTV memberi tumpuan dalam negara dan percuma untuk digunakan oleh sesiapa sahaja.

“Kami juga banyak menumpukan bimbingan bakat tempatan untuk memastikan Malaysia dapat mempamerkan kumpulan bakat sendiri yang bertaraf dunia.

“Jika anda melayari WeTV, anda akan menemui banyak kandungan yang diarahkan dan diterbitkan oleh pengarah Malaysia, dibintangi pelakon yang cemerlang…pasaran penstriman kandungan Malaysia adalah sangat kompetitif dan bergerak pantas.

“Malah, pengguna Malaysia adalah antara pengguna yang paling aktif dalam rantau ini, dan sentiasa menuntut lebih banyak kandungan,” katanya.

Rakan Kongsi dan Prospek

Pada November tahun lalu, WeTV memeterai perkongsian dengan Media Prima Bhd yang membabitkan perjanjian pelesenan bagi membolehkan WeTV membeli judul-judul eksklusif dan lama daripada Media Prima.

“Setakat ini, kami mempunyai tiga siri lengkap yang sedia untuk ditonton susulan perkongsian dengan Media Prima iaitu ‘Sang Pewaris’, ‘Bidadari Salju’ dan ‘Takdir Yang Tertulis’, yang disiarkan pada 26 Nov 2020, 15 Dis 2020 serta 21 Jan 2021.

“Perkongsian dengan Media Prima adalah bersifat strategik dan jangka panjang, yang juga merangkumi peluang masa depan dalam usaha sama produksi…Kami percaya kerjasama ini memberi peluang penting kepada kami untuk terus memenuhi keperluan penonton tempatan,” katanya.

Melangkah maju, Heng berharap industri kandungan tempatan akan mengatasi cabaran yang ditimbulkan oleh Covid-19, kerana ia telah menjejaskan kehidupan semua orang yang berkaitan dengan industri ini, sama ada sebagai pengarah, pelakon atau kru sokongan.

“Dalam jangka panjang, saya percaya industri kandungan tempatan mempunyai potensi yang besar. Kami berharap pihak berkuasa kerajaan dan rakyat Malaysia akan terus menyokong industri kandungan tempatan dalam usaha meningkatkannya kepada standard antarabangsa,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Primeworks Studios dan WeTV Malaysia jalin kerjasama